Monday, 20 April 2020

Bertemu untuk ke Raudah

Bila kau rasa sebatang kara, tiba tiba Allah hantar seseorang. Terima kasih makcik Kamsiah, terasa kasih seorang ibu bila dia memegang erat tangan dan mencium pipiku.

Maghrib tu tunggu lif lambat, aku turun guna tangga. Bergegas ke Masjid Nabawi yang jaraknya 150 meter. Aku masuk melalui pintu 15, disitu lah tempat aku dan suami berjanji sebaik sahaja urusan kami selesai.

Walau terlambat, aku masih dapat masuk ke dalam masjid, meskipun di luar telah ramai jemaah mengambil tempat.

Sambil itu mata melilau mencari-cari tempat kosong untuk aku bersolat. Tiba-tiba nampak satu tempat. Betul-betul di laluan pejalan kaki. Ada seorang wanita tua sedang duduk bertafakur. Hati berasa lega kerana jemaah itu satu kumpulan dengan kami.

Aku senyum dan membentang sejadah. Usai solat Tahiyatul Masjid, aku berselawat sementara menantikan masuk waktu.

"Dah shopping??" sapanya wanita tua disebelahku  dengan suara lembut.
"Boleh la sikit-sikit makcik," jawabku

"Ada buat apa tak malam ni?"

Aku cuma menggeleng. Blur !  Tak tau aktiviti apa nak buat selepas Isya nanti. Mungkin berehat saja di bilik. Untuk membeli belah, semua kedai-kedai di sini menjual barang yang hampir sama. Semuanya sudah kubeli sebagai buah tangan anak-anak dan rakan taulan di tanahair.

"Boleh temankan makcik masuk ke Raudah, makcik tak ada kawan?"

Aku cuma tersenyum dan menjawab, "insyaalah"

Pukul 3 pagi, keadaan Masjid Nabawi seakan waktu siang kannn ?? 


Dalam hati, alamak ! malam tadi kami bersesak-sesak masuk ke Raudah. Hampir ke pukul 2 pagi baru balik. Azabnya masih terasa.

Hendak menolak permintaannya, terasa kasihan.

“Takpe la Ina, kau pegi jer lah malam nanti. Mungkin ada rezeki kau nak jumpa kucing buta tu!” Aku bermonolog

Ye, dah tiga hari aku di Madinah, tapi kucing buta viral yang hidupnya di tepi tong sampah masih tidak kutemui. Aku bawa makanan kucing dari Malaysia khas untuknya.

Selasai solat maghrib aku bersiap untuk keluar kerana sudah berjanji dengan suami.  Makcik Kamsiah hendak beriktikaf di situ sehingga Isyak. Kami berjanji akan berjumpa di lobi hotel pukul 11.55 malam.

Dalam perjalanan pulang,aku memikirkan sesuatu.

Aghh...tak seronoklah jika pergi berdua. Aku mula menghubungi rakan jemaah yang lain. Lebih ramai lebih meriah. Tidaklah bosan menunggu giliran masuk ke Raudah nanti.

Alhamdulillah, di lobi hotel, beberapa jemaah lain turut sama menyertai kami. Seorang wanita berumur lewat 40an yang kami panggil sebagai Kak Zaharah, menjadi ketua kami dalam ekspedisi kami ke Raudah malam itu.

Sepanjang perjalanan ke Raudah, menyusuri pintu 15 hingga 25, makcik Kamsiah memegang erat tanganku. Kak Zaharah pula memberi penerangan dan kisah-kisah yang berlaku sekitar Masjid Nabawi.

Kami sangka jika lewat masuk, mungkin telah kurang jemaah wanita, namun kami silap. Jemaah dari serata pelusuk dunia mengambil kesempatan bersolat, berdoa di saat-saat akhir Raudah dibuka.

Padat, sesak, itulah Raudah dari kacamata wanita. Ada yang sampai menjerit kesakitan akibat tersepit, terselit, malah ada yang sampai tertanggal telekungnya  akibat berasak-asak.

Makcik Kamsiah memegang erat tanganku, risau terlepas, Jika terpisah, payah untuk kami berjumpa semula.

"Ya Ibu, bangun, bangun !" jerit polis wanita Masjid Nabawi kepada kami yang duduk. Tandanya giliran kami masuk ke Raudah telah tiba.

Serbuuuuu !!!! hahahaha.... kami mencari saf yang paling depan, berdekatan tiang Siti Aisyah dan makan Nabi.

Beginilah keadaan luar Raudah. Sesak padat dengan ratusan jemaah yang ingin masuk ke dalamnya. Kami menunggu hampir 2 jam. Namun tak terasa lama kerana manfaatkan masa menunggu sebaik mungkin dengan berzikir. 


Namun jangan disangka perkara itu mudah. Semua berebut dan berasak untuk solat di situ. Bila telah mendapat tempat, kami berempat membuat kepungan, dan seorang lagi akan bersolat mengikut giliran. Hanya dibenarkan 1 solat taubat dan 1 solat mutlak sahaja. Ketika sujud, berdoalah sebanyak mungkin.

Namun, seorang jemaah telah terpisah dari kami. Kak Lin berasa dadanya sesak, lantas bergerak ke belakang. Dia  bersolat di belakang sedikit dari tiang Aishah. Kami berlima tidak dapat keluar kerana tidak ada ruang untuk kami keluar.

Maka, kami membuat keputusan membantu jemaah lain bersolat. Membuat kepungan agar jemaah dapat bersolat dengan tenang tanpa ada yang menolak atau memijak kepala.

"Terima kasih ya nak, sudi bantu ibu untuk bersolat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian," ucap seorang jemaah dari Indonesia. Senyuum jer kami berlima.

Indahnya kenangan itu. Kami semua keluar sebaik sahaja polis wanita mengumumkan yang Raudah akan di tutup. Waktu ketika itu sudah 3 pagi. Tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih. Jika ada kedai makanan yang dibuka, sudah tentu kami lepak mamak ! hehehe

Rindunya pada mereka bertiga ni , Kak Zaharah (tengah) , Bonda Kamsiah (kiri) dan Nina (kanan)



















Rindunya Raudah, rindu mengunjungi Makam Nabi dan sahabat-sahabatnya. Insyaalah aku akan datang lagi !!


No comments:

Post a Comment

[close]